09 August, 2007

Kuasa Politik Melayu Di Ambang Kemusnahan

Jamal Rizal Hj. Razali

Dalam sebuah negara yang menggunapakai konsep demokrasi sebagai asas pemerintahan dan pentadbiran, kuasa memerintah dan mentadbir negara ditentukan melalui proses pilihanraya.

Sehingga hari ini, pilihanraya adalah satu mekanisme yang paling ampuh untuk menterjemah kuasa atau hak rakyat yang diwakilkan kepada individu atau kumpulan individu yang bergabung di bawah satu parti politik tertentu untuk mentadbir negara.

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, ialah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, diperintah dan ditadbir berdasarkan jumlah undi majoriti yang diberikan oleh rakyat kepada parti politik tertentu, yang membentuk sebuah kerajaan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

Simpulan bahasa berikut mungkin dapat memberi gambaran akan proses tersebut, sebagai contoh, "daripada rakyat kepada rakyat", "the people’s power", suara rakyat atau pemerintahan rakyat.

Bagi mendapatkan undi yang dimiliki oleh rakyat, pihak pemerintah menerusi parti politik perlu pula memikat atau menarik minat rakyat supaya memberi undi yang seterusnya mewakilkan hak dan kuasanya di dalam pemerintahan negara.

Selain daripada menarik minat, parti-parti politik tersebut mestilah mengenengahkan pemimpin yang benar-benar sukarela berkhidmat kepada rakyat yang telah memberinya undi.

Sehubungan itu, jumlah pengundi adalah perkara pokok yang mesti diberi perhatian oleh parti politik yang bergantung kepada suara atau undian untuk mendapatkan hak kuasa memerintah daripada kerajaan.

Jika keadaan sebaliknya yang berlaku maka, berdasarkan sistem demokrasi berparlimen, sesebuah parti politik itu tidak akan dapat membentuk sebuah kerajaan untuk mentadbir dan memerintah.

Di dalam perkembangan akhir-akhir ini , orang Melayu dan UMNO khususnya perlu membuat pertimbangan dan mencari jalan supaya undi yang dimiliki oleh rakyat akan terus diberi kepada kerajaan yang mereka percaya dan yakin dapat memerintah dan mentadbir negara ini mencapai kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan.

Setakat ini, setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, pengundi Melayu ini belum lagi mengecewakan di dalam pilihanraya, walaupun sedikit tercalar dalam pilihanraya 1999 diakibatkan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, adakah kuasa memerintah akan terus dipegang oleh UMNO atau lebih tepat lagi, orang-orang Melayu pada masa depan?

Mungkin tidak ada jawapan yang tepat, namun kita bisa meramalkan sesuatu berdasarkan gejala-gejala yang berlaku pada hari ini.

Selain undi dari kaum-kaum lain, UMNO sememangnya amat berharap undi dari pengundi Melayu. Namun perlu juga dilihat betapa tidak semua pengundi Melayu akan mengundi UMNO kerana mereka juga mempunyai pilihan lain selain UMNO iaitu PAS ataupun Parti Keadilan.

Selain keterbatasan pengundi Melayu, UMNO juga mula menghadapi kekurangan bekalan pengundi Melayu.

Jika kita lihat situasi pada hari, paling menonjol ialah statistik daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebut sejumlah besar warganegara yang layak mengundi masih belum mendaftar di SPR bagi membolehkan mereka memberi undi kepada parti politik untuk menjalankan kuasa memerintah dan mentadbir negara.

Statistik tersebut menyebutkan terdapat seramai 4.6 juta rakyat negara ini yang layak mengundi berdasarkan undang-undang, masih belum dan tidak mendaftar.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Rahman, daripada jumlah itu, di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dikesan hampir sejuta rakyat belum mendaftar, manakala di Johor Bharu membabitkan 170,000 individu.

Setakat ini, hanya 300,000 rakyat Malaysia daripada 4.9 juta tampil mendaftar selepas pelancaran Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih peringkat pusat pada 16 April lalu.

Kebanyakannya di bandar besar, sebaliknya kawasan luar bandar menunjukkan kesedaran tinggi untuk mendaftar sebagai pemilih.

Keadaan ini akan menjadi semakin buruk pada setiap tahun apabila seramai 250,000 pemilih baru layak mengundi dan jika ditambah jumlah mereka yang enggan mendaftar, jumlahnya akan menjadi lebih besar.

Selain itu, statistik rakyat Malaysia yang secara sukarela melucutkan kewarganegaraannya seperti yang diulas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, juga sepatutnya mendatangkan kebimbangan kepada orang-orang Melayu.

Kita boleh membuat pelbagai tafsiran, kajian dan kesimpulan daripada angka-angka tersebut.

Satu perkara yang pasti ialah, sebagai orang Melayu, kita perlu membuat introspeksi atau muhasabah diri dengan lebih konstruktif lagi.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulas mengenai statistik rakyat Malaysia yang telah melucutkan atau memulangkan hak kewarganegaraan mereka kepada kerajaan Malaysia, beliau turut mengingatkan kepada individu tersebut bahawa mereka tidak akan dibenarkan untuk memohon semula kewargnegaraan Malaysia.

Di dalam nada yang tegas itu, kita dapat rasakan kekecewaan, kesedihan dan pada masa yang sama kebimbangan wujud di dalam diri beliau.

Seramai 106,000 orang telah direkodkan secara sukarela melucutkan kewarganegaraan mereka.

Seramai 79,199 terdiri daripada kaum Melayu, 25,107 kaum Cina, kaum India pula 1,347 dan 350 terdiri daripada kaum-kaum lain.

Sebanyak 70% daripada jumlah tersebut adalah orang-orang Melayu, dan dikatakan juga wanita mengatasi lelaki daripada jumlah individu yang menyerahkan atau melucutkan hak kewarganegaraan mereka.

Perumah baru pilihan mereka ialah Singapura, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia.

Selain itu, ramai pengundi Melayu yang tersadai di pusat-pusat Serenti yang tumbuh seperti cawan selepas hujan.

Jumlahnya boleh dikatakan mengatasi jumlah institusi pengajian tinggi yang ada di negara ini.

Bayangkan, jumlah keseluruhannya ialah 27 buah dan bagi negeri Pahang sahaja jumlahnya enam buah iaitu di Raub (2), Karak, Jerantut, Benta dan Gambang.

Jika kita membuat pengiraan mudah, iaitu di setiap pusat serenti dihuni oleh 100 penagih yang terdiri daripada pengundi Melayu, jumlah keseluruhannya sudah menjangkau 2,700 orang.

Jika jumlah ini diterjemahkan sebagai kuasa undi orang Melayu di dalam pilihanraya, ia mungkin menjadi suara atau undi majoriti bagi sesebuah kawasan DUN atau parlimen.

Begitu juga dengan anak-anak Melayu yang layak mengundi tetapi merempit di jalan-jalan raya berlumba haram. Kebanyakannya terlibat di dalam kemalangan dan mengalami kecacatan kekal.

Biasanya mereka ini tidak lagi mempedulikan soal hak dan tanggungjawab sebagai pengundi, apatah lagi keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan untuk bergerak cergas seperti sediakala.

Selain itu, simptom-simptom tidak peduli akan negara sendiri mula menyebar di kalangan orang-orang Melayu dengan pantas sekali. Mereka tidak peduli lagi dengan peristiwa-peristiwa bersejarah di negara ini.

Mereka tidak lagi kenal tokoh atau pejuang tanahair. Mereka tidak dapat mentafsir pengajaran yang bisa diperoleh daripada peristiwa 13 Mei 1969, malah mereka tidak mampu menyebut rukun-rukun yang ada di dalam Rukun Negara.

Keadaan ini memperlihatkan bahawa, mereka tidak mempunyai kepekaan terhadap negara, dan mereka sering mempersoal tanggungjawab dan apa yang perlu negara berikan kepada mereka.

Sepatutnya, negaralah yang ini perlu bertanya kepada golongan ini mengenai sumbangan mereka kepada negara seperti yang disebutkan oleh JF Kennedy dalam frasa yang sangat terkenal ini, "Jangan ditanya apa yang negara akan berikan kepadamu, tapi apakah yang boleh kamu sumbangkan kepada negara".

Ataupun, sikap tidak mahu belajar dan menghayati aspirasi negara juga menjadi pencetus kepada ketidakpedulian ini.

Sebagai contoh, sikap tidak mahu memahami dan menghayati semangat DEB yang diperkenalkan oleh kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang berfokus kepada penyusunan sturktur masyarakat Malaysia melalui pembangunan ekonomi serta pendidikan secara menyeluruh tanpa mengira kaum.

Kebanyakan anak muda kita melihat DEB ini daripada sudut yang dangkal serta cetek dengan hujah lapuk yang mengatakan bahawa wujud diskriminasi kaum di dalam pelaksanaan DEB ini.

Begitu juga dengan kewujudan dan konsensus di dalam Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu sebagai asas kewujudan sebuah negara bangsa Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu semasa rundingan kemerdekaan.

Biarpun sebenarnya kita boleh katakan bahawa kontrak ini telahpun wujud sejak Melaka dibuka oleh Parameswara hampir 700 tahun dahulu lagi.

Buktinya sangat jelas apabila wujudnya pelbagai kaum yang bisa hidup aman damai di Kota Melaka, sehinggakan ada kumpulan atau kaum tertentu yang berasimilasi dan menetap di negara ini sehingga sekarang.

Namun, semua ini seolah-olah tidak mampu menjadi bukti nyata dan rasional kenapa di Malaysia kita harus hidup di dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita berasaskan kontrak sosial yang dipersetujui atas konsep "menang-menang" atau seperti yang disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri iaitu, "yang menang tidak dapat semua, dan yang kalah tidak hilang semua".

Atau dengan kata lain, orang Melayu telah memberikan bahagian-bahagian tertentu kepada kaum lain yang ada di Malaysia ini agar mereka juga bisa hidup di negara ini.

Sebagai balasannya, kaum lain harus pula mengiktiraf dan menerima bahagian-bahagian tertentu yang hanya diberikan kepada orang-orang Melayu atas jasa baik mereka membenarkan kaum-kaum lain hidup bersama orang-orang Melayu di negara ini.

Ketidakpedulian ini mungkin juga berlaku akibat penekanan dan penguatkuasaan yang tidak tekal. Maksud di sini ialah, penekanan dan penerapan yang semakin longgar terhadap nilai-nilai kenegaraan.

Sebagai contoh, penglibatan proses pengajaran dan pembelajaran di isntitusi-institusi pendidikan.

Kita sering melihat, terdapat pihak-pihak yang sering mengabaikan atau sengaja menidakkan peranan kursus atau matapelajaran yang menyemai nilai-nilai kenegaraan ini daripada dimasukkan ke dalam struktur kurikulumnya.

Alasan klise yang sering diberi ialah, bidang ini sudah diajarkan sejak sekolah rendah atau, bidang seperti ini tidak kritikal, atau bidang ini hanya menambah beban pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Sedangkan, inilah salah satu peluang terbaik yang wajar dimanfaatkan oleh anak-anak muda Melayu ini untuk mengasah dan mempertajam kefahaman dan penghayatan mereka akan sejarah bangsa dan negara mereka.

Kita tidak mahu, anak-anak Melayu generasi cerdas ini kehilangan identiti mereka walaupun sudah berjaya menjawat jawatan besar, tinggal di luar negara, atau menjadi konglomerat bertaraf taikun.

Kita mahu mereka ini kekal sebagai anak Melayu yang akan membalas semula jasa negara yang telah memberikan banyak kemudahan kepada mereka.

Daripada fakta yang dibincangkan tadi, ternyata gejala-gejala yang menjurus kepada pengurangan jumlah pengundi Melayu semakin ketara dan menonjol.

Ia juga merupakan indikator bahawa satu bala bencana yang maha dahsyat akan menimpa ketuanan Melayu di negara ini.

Mungkin pendapat ini agak keterlaluan, namun tidak ada salahnya untuk kita menjadikannya sebagai batu asas untuk mula merenung dan berfikir secara lebih teliti untuk menganalisis dan mencari jalan penyelesaiannya.

Kejadian-kejadian yang menakutkan seperti pelucutan kewarganegaraan secara sukarela, ketidakpedulian akan aspek-aspek kenegaraan dan tabiat buruk tidak mahu mendaftar sebagai pemilih di dalam pilihanraya merupakan batu tanda kepada pengurangan daya undi orang-orang Melayu di dalam pilihanraya.

Kekurangan undi bermakna kekurangan kerusi, yang memberi peringatan kepada kita bahawa kekurangan kerusi bermakna kekurangan kuasa untuk memerintah negara ini.

Jumlah pengundi yang semakin berkurangan akan menyebabkan parti politik milik dan yang memperjuangkan survival orang Melayu akan semakin lemah tidak berdaya.

Sudah cukup lama terjajah. Tak salah jika dikatakan bahawa, kuasa politik Melayu semakin terhakis. Justeru, sesuatu harus dilakukan.

Penulis Adalah Pengarah Pusat Perkhidmatan Akademik Universiti Malaysia Pahang