09 August, 2007

Apa Mereka Kata? Siri I

Tulisan ini adalah cedukan dari website Malaysia-Today.

Kalau selama ini kita BN menang secara kotor, dengan lain perkataan SPR berat sebelah, media terlalu dikawal, mahkamah tak bebas, ancaman OSA dan ISA, adakah ia benar? Jika benar bagaimana pula kejayaan PAS berpenggal-penggal di Kelantan? Adakah kita berani mengatakan SPR di Kelantan telah dibeli oleh PAS? Adakah kita mampu mengatakan PAS menang kerana undi hantu? Sejarah telah membuktikan BN pernah tewas di beberapa buah negeri. BN juga mengalami kemorosotan majoriti undi yang teruk di beberapa buah negeri yang kita semua tahu. Saya percaya BN tidak akan mengalami semua ini jika dia betul-betul main kotor.

Anda boleh kata Media di Malaysia tidak bebas. Anda tidak harus lupa bahawa media rasmi PAS (Harakah) pernah dibiarkan bebas berada di pasaran tanpa sebarang sekatan dulu. Apa yang berlaku? Fitnah berleluasa. Isu-isu sensetif dimain. Kafir mengkafir dan banyak lagi. Semua benda dalam dunia perlu dikawal. Al-Quran pun diturunkan untuk memberi panduan untuk mengawal tingkah laku manusia. Kawalan media terutama dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia amat penting. Memang wujud kawalan media untuk mengekalkan kuasa (rujuk teori Bandura) tapi sesiapa sahaja akan melakukannya ketika sedang berkuasa. BA pun pasti tak boleh janji takkan kawal media langsung jika berkuasa.

Pembangkang kalah memerintah Malaysia kerana beberapa sebab. Antara yang terpenting ialah ianya tidak mendukung aspirasi rakyat secara keseluruhan. Banyak sarjana telah menulis tentang perkara ini. Anda boleh selidiki tesis-tesis mereka; yang lebih menjurus kenapa BN terlalu unggul untuk dikalahkan.

Selama 50 tahun merdeka, pembangkang di Malaysia masih gagal memahami apa yang rakyat Malaysia secara majoriti mahukan. Formulanya bukan rahsia lagi. Selidiki kenapa BN berjaya. Ketepikan 'hal-hal skeptikal (SPR, Media, ISA, OSA dll)' dulu; hal ini sebenarnya menunjukkan pembangkang lemah - setelah 50 tahun merdeka tapi pembangkang masih gagal menyelesaikan hal-hal skeptikal tadi. Adakah pembangkang di Malaysia tidak cekap? Kenapa BN berjaya? Perhatikan komponen BN, UMNO, MCA/GERAKAN dan MIC (sekadar menyebut beberapa parti), perhatikan pula komponen BA, PAS, PKR dan DAP. Apa yang anda nampak? BN mewakili apa? BA Mewakili apa? BN mewakili kaum, dan BA pula mewakili idea.

Lihat pula kecenderungan fitrah sesuatu kaum itu secara majoriti; Melayu pentingkan ketuanan, Cina pentingkan aspek mencari kekayaan dan masyarakat India pula proses hidup - bekerja untuk hidup. UMNO muncul dengan citra ultra melayunya, ianya ada toleransi tapi tidak boleh diganggu-gugat. Imej ultra ini perlu ada pada satu kaum saja dalam sesebuah negara. Tidak boleh dua. Konflik akan wujud sekiranya ada lebih dari satu. Masyarakat Cina pula majoritinya ingin menjadi Vincent Tan. Mereka mahu kaya. Mereka sukakan duit. Tak ramai ramai yang memilih untuk menjadi Tien Chua; keluar masuk penjara/dipukul. Masyarakat India pula suka bekerja dan bekerja. Dapat bagi anak bini makan. Mereka sanggup bekerja kuat. Ketiga-tiga kaum besar di semenanjung berjaya mencapai konsesus ini di dalam BN. Inilah formula BN.

Komponen BA tidak memiliki ciri-ciri ini. PAS muncul dengan idea mewujudkan negara Islam dalam ertikata sebenarnya. Idea ini sungguh murni. Tetapi mengapa hanya berjaya di Kelantan? Sekali lagi faktor kaum muncul. Lihat sahaja taburan kaum di negeri Kelantan. Faktor pemimpin selebreti juga memainkan peranan. PAS perlu mewujudkan seribu orang Nik Aziz untuk memerintah Malaysia. Mereka tak perlukan pemimpin-pemimpin seperti Mat Sabu atau seumpama dengannya. Saya sendiri malah pemimpin-pemimpin UMNO sendiri amat mengkagumi Nik Aziz. Wajahnya jernih dan tenang. Beliau mudah tersenyum pada siapa sahaja. Mudah didekati tanpa sebarang protokol.

PKR pula dari segi perjuangannya berteraskan idea 'keadilan'. Mereka tidak memilih untuk menjadi ultra bagi sesuatu kaum. Ianya parti pelbagai kaum. Inilah punca kegagalannya. Rakyat Malaysia menolak parti sebegini. Walaupun ketika ini PKR dipimpin oleh Melayu, ianya tidak menjamin ketuanan kaum ini. Faktor Anwar pula tidak lagi membantu. Bukan kerana kes liwatnya. Saya sendiri adalah sebahagian daripada warga UMNO yang tidak mempercayai kes liwat Anwar. Dalam parti ini, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum berpeluang untuk menjadi presiden. Katakanlah BA memenangi pilihan raya dan PKR menjadi tonggaknya, dan ketika itu Tien Chua sedang menjadi presiden PKR, mampukah orang Melayu menerima seorang Cina menjadi Perdana Menteri? Ketuanan Melayu lebur. DAP bertitik tolak daripada idea demokrasi. Suara ramai. Kenapa ia ditolak? Agenda 'Malaysia Malaysian' yang diperjuangkannya amat mencabar ketuanan Melayu. Semua kaum sama hak. Tiada lagi hak keistimewaan orang Melayu. Ramai orang Melayu terbayangkan Singapura. Apabila orang Melayu gelisah, akan wujud masalah. Bila wujud masalah orang Cina akan susah nak berniaga. Orang-orang seperti Vincent Tan susah nak cari duit. Sebab itu majoriti orang Cina sendiri menolak DAP.

Jika BA mahu menang, ikutlah formula BN. Wakili kaum. Hal idea hal kedua. Malah perlu juga disederhanakan. Perlu ada konsesus Melayu sebagai tuan. Wujudkan dua gagasan politik Malaysia yang seimbang dan praktikal disokong. Kalau tersalah sokong pun tidak banyak hal-hal dasar akan tercedera. Tak perlu menderita untuk lima tahun. PKR dan PAS perlu bergabung, jadilah parti Melayu yang memperjuangkan Islam. Tien Chua masuklah DAP dan ajaklah kaum anda mencari kekayaan di bumi bertuah ini. Parti pembangkang India yang kuat perlu diwujud. Bukan lagi parti serpihan, yang lari ketika merajuk tetapi jemput presiden parti lain merasmikan mesyuarat partinya ketika rajuknya hilang.

Kasihan rakyat Malaysia, terpaksa juga sokong BN walaupun tak suka. Hanya itulah parti yang praktikal disokong. Parti-parti pembangkang Malaysia masih di peringkat baru belajar walaupun ada diantaranya yang ditubuhkan seangkatan dengan UMNO. Tahniah dan Al-Fatihah kepada pemimpin yang terdahulu yang telah mewujudkan konsep parti Perikatan. Ianya satu-satunya formula yang sesuai untuk Malaysia.