09 August, 2007

Apa Mereka Kata? Siri II

Tulisan ini adalah cedukan dari website Malaysia-Today.

Pembangkang sekali lagi gagal menunjukkan keupayaan bagi menyelami hati serta kehendak rakyat yang merangkumi pelbagai agama dan kaum. Dari erti kata lain kegagalan barisan pembangkang adalah kegagalan peribadi. Gagal memberi pilihan terbaik pada rakyat. Gagal memberi sandaran terbaik pada rakyat serta kegagalan melaksanakan tanggungjawab selaku pembangkang untuk rakyat. Kegagalan ini akan bertali arus yang menjadi igauan mereka pada setiap PRU (Pilihan Raya Umum).

Mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pembangkang sebenarnya tidak mempunyai aspirasi sebenar bagi mengujudkan sebuah negara yang lebih baik, lebih harmoni atau lebih demokrasi. Keupayaan mereka hanya terbatas dan bermusim. Mereka gagal bersatu dalam banyak perkara yang melibatkan kepentingan rakyat keseluruhannya. Kepincangan ini lebih ketara lagi apabila perkara-perkara penting seperti ketuanan melayu, hak bumiputera, serta isu negara Islam gagal ditangani serta diperjelaskan dengan tepat bagi rakyat mempunyai kepercayaan penuh kepada perjuangan mereka. Mereka lebih gemar bersifat "opportunist" dalam banyak perkara tanpa memberi jawaban yang mampu menambat hati majoriti rakyat.

Perkara ini telah kerap kali diketengahkan oleh banyak pihak termasuk di dalam komen2 MT. Tetapi setiap kali teguran dibuat, pendapat ini akan disanggah kerana ianya keterlaluan bagi mereka. Itulah hakikatnya. Walau siapa pun kita, tidak kira fahaman politik ataupun agama, kita tetap rakyat Malaysia yang mempunyai hasrat dapat memberi "harapan" pada generasi akan datang.

Kemampuan pembangkang terjawab pada setiap PRU. Majoriti rakyat telah menolak perjuangan mereka yang lebih menjurus kepada politik kepartian, individu terpilih, sifat kenegerian yang tidak mempunyai aspirasi bagi kepentingan negara keseluruhanya. Mungkin pembangkang sedar keupayaan mereka, siapa lawan mereka dan siapa 'kawan' mereka. Tetapi inilah hakikat yang harus majoriti rakyat tempuhi. Setiap pilihan dibuat adalah yang terbaik buat mereka. Allahu wa'aalam.